Percepat vaksinasi guru demi kepentingan pendidikan negara

KETIBAAN sejuta dos vaksin AstraZeneca (AZ) sumbangan Kerajaan Jepun pada 1 Julai lalu, menandakan hubungan baik Malaysia dengan negara itu. Isnin lalu pula, negara menerima sumbangan sejuta dos vaksin Pfizer sumbangan Amerika Syarikat (AS).

Apa lebih menarik minat warga pendidik, pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Ismail Sabri Yaakob bahawa pergerakan pelajar dan guru sekolah untuk kelas peperiksaan di bawah parameter kawalan pergerakan (utama) antara aktiviti dibenarkan di lima negeri beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), bermula Isnin lalu.

Lima negeri itu ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis yang sebenarnya dapat disimpulkan sebagai langkah membuka sesi persekolahan secara bersemuka kepada calon peperiksaan awam.

Kita masih menunggu pengumuman rasmi Kementerian Pendidikan (KPM) berkaitan tarikh permulaan sesi pelajar calon peperiksaan terbabit.

Sebelum itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memaklumkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bakal menerima vaksin akhir bulan ini yang akan diadakan di sekolah.

Perkembangan ini memerlukan lebih ramai guru diberikan vaksin pada tahap lebih pantas dalam masa terdekat. Walaupun usaha diadakan semua pihak ke arah mevaksinkan guru, masih ramai belum menerima vaksin, terutama guru yang akan bertugas menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) kepada pelajar di kelas peperiksaan awam.

Kita sedar dengan jumlah 430,000 guru, memanglah prosesnya agak sukar, namun kita tiada pilihan, semua guru yang mengisi permohonan pada MySejahtera perlu divaksin secepat mungkin.

Walaupun calon SPM sekitar 400,000 pelajar dan calon STPM (40,000 pelajar), sekitar 4.5 juta pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Empat tidak divaksinkan.

Sekiranya guru tidak divaksinkan secara keseluruhannya, risiko penularan COVID-19 di sekolah sangat besar. Tidak akan wujud persekitaran selamat untuk pelajar yang seterusnya akan menjejaskan kestabilan ekosistem pendidikan.

Kita sudah ada pengalaman bagaimana kluster pendidikan timbul ketika sesi persekolahan bersemuka dilaksanakan sebelum ini. Dimaklumkan 23,739 murid bawah 12 tahun dijangkiti COVID-19 dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Pada 21 April lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 83 kluster dalam sektor pendidikan sejak Januari.

Semua orang tahu langkah kawalan dan prosedur operasi standard (SOP) ketat dilaksanakan pihak sekolah bermula murid tiba di pintu pagar, ketika proses PdP, rehat dan penyuraian pelajar waktu balik.

Lebih 10,000 sekolah di negara kita mematuhi garis panduan lengkap disediakan KPM. Namun, bilangan positif COVID-19 dalam sektor pendidikan terus meningkat. Di mana silapnya?

Saya tidak sangsi tahap komitmen guru menguatkuasakan SOP di sekolah. Penularan akibat perlanggaran SOP rasanya agak kecil, tetapi lebih kepada kehilangan kawalan terhadap aktiviti pelajar selepas keluar dari pintu pagar sekolah dan kembali semula keesokannya.

Oleh itu, pemberian vaksin COVID-19 kepada guru sangat penting, menjelang sekolah dibuka secara bersemuka.

Sejak fasa pertama pemberian vaksin kepada petugas barisan hadapan, NUTP beberapa kali membuat kenyataan agar guru dimasukkan dalam kategori itu kerana mereka amat berisiko. Mereka berhadapan pelajar yang tidak diketahui status imuniti dan potensi menjadi penyebar.

Guru tidak tahu siapa kontak rapat atau sosial pelajar sebelum hadir ke sekolah. Ada kemungkinan, mereka hadir dalam keadaan ahli keluarga ialah individu dalam siasatan (PUI) atau individu dalam pemantauan (PUS).

Sebab itulah kluster pendidikan tumbuh dengan cepat. Memandangkan bekalan vaksin COVID-19 masih belum banyak diterima kerajaan ketika itu, warga guru boleh menerima hakikat keutamaan perlu diberikan kepada petugas barisan hadapan di sektor kesihatan dan keselamatan serta kumpulan berisiko.

Pengarah Eksekutif Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (​UNICEF), Henrietta Fore pernah mengesyorkan guru di seluruh dunia diberikan vaksin sejurus selepas petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan serta kumpulan berisiko tinggi sempurna menerimanya.

Ini petunjuk jelas bahawa guru antara faktor utama dalam menentukan status dan tahap penyebaran COVID-19 di semua negara. Jadi, dengan Malaysia menerima 8 juta dos vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, alasan kekurangan stok tidak boleh lagi diterima warga guru. Percepatkan pemberian vaksin ini dan beri keutamaan kepada guru demi kepentingan pendidikan negara.

Sebagai usaha tambahan mengekang penularan COVID-19, kita juga dimaklumkan kanak-kanak dan remaja berusia 12 tahun hingga 18 tahun kini boleh mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera.

Sekiranya ibu bapa merebut peluang ini, sudah pasti jumlah individu dalam sektor pendidikan menerima vaksin dalam kalangan 5 juta pelajar dan 430,000 guru akan bertambah.

Secara langsung, kadar imuniti warga sekolah akan meningkat. Isunya, bilakah kanak-kanak dan remaja ini akan menerima vaksin?

Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pentadbir sekolah sentiasa memberikan kerjasama kepada KKM amnya dan Pejabat Kesihatan Daerah khususnya dalam usaha mempercepatkan pemberian vaksin kepada guru.

NUTP sendiri, dari semasa ke semasa sentiasa mendapat pertanyaan daripada guru mengenai isu mengapa mereka masih belum dipanggil diberikan vaksin COVID-19, walaupun sudah membuat pendaftaran sejak Februari lalu.

Ibu bapa juga akan lebih yakin menghantar anak ke sekolah apabila mengetahui keseluruhan atau sebahagian besar guru di sekolah sudah divaksinkan. Perlu diingat pelajar akan menghabiskan masa lama dengan guru di sekolah.

Sewajarnya guru dilindungi dengan pemberian vaksin lebih awal agar pelajar berasa selamat.

Tidak kurang pentingnya, SOP berkaitan don’ts ketika aktiviti pembelajaran di sekolah dapat dikurangkan dan akan menjadikan sesi berkenaan lebih memberikan impak positif kepada pelajar.

Ini sangat penting kerana penutupan sekolah dalam tempoh lama diganti dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) begitu bermasalah disebabkan isu peranti dan capaian internet.

Hal ini menjadikan sesi PdP bersemuka berkesan amat dituntut bagi ‘membaik pulih’ kelompangan atau keciciran maklumat ilmu dalam tempoh PdPR. Pun begitu, guru dan murid perlu terus mematuhi SOP ditetapkan.

Pastinya, semua peringkat pekerjaan menuntut pemberian vaksin dipercepatkan. Namun, ada rasionalnya guru diberi laluan awal berbanding bidang lain. Semua dilakukan pastinya ada kaitan usaha melindungi dan memberi kesejahteraan kepada rakyat agar kita dapat kembali hidup normal.

*Sebagai rujukan artikel asal boleh lihat di laman web Berita Harian.

Read More

Hi, how can I help you?