Kehadiran ke sekolah tidak berperingkat tetapi kekal bergilir-gilir

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pengoperasian institusi pendidikan di bawah seliaannya di Kedah akan bermula pada 21 November ini.

KPM dalam satu kenyataan berkata bagi institusi pendidikan di Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah pula, operasinya akan bermula pada 22 November.

Menurut kenyataan kementerian, kemasukan kali ini tidak dilakukan secara berperingkat tetapi masih mengekalkan kaedah bergilir-gilir.

Kementerian berkata kemasukan akan membabitkan murid Tahun 1 hingga Tahun 6 di sekolah rendah serta kelas peralihan dan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 di sekolah menengah.

“Perincian mengenai kemasukan murid sekolah asrama sepenuhnya akan dimaklumkan oleh pihak sekolah kepada ibu bapa/penjaga,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan laporan berkaitan isu sama semalam.

Setelah mengambil kira dapatan pengoperasian yang bermula pada 3 Oktober lalu, serta situasi semasa pandemik COVID-19, KPM memutuskan kehadiran murid pada kali ini tidak dilaksanakan secara berperingkat namun mengekalkan kaedah penggiliran.

Kementerian sentiasa memantau dan meneliti keadaan semasa pengoperasian sekolah secara bersemuka sejak dibuka semula bermula 3 Oktober 2021.

Katanya, dapatan daripada pemantauan dan penelitian menunjukkan bahawa pengoperasian sekolah berjalan dengan lancar dan teratur mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

“Institusi pendidikan bawah KPM dalam kenyataan media ini turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat,” katanya. 

Sebagai rujukan artikel asal boleh dilihat di laman Berita Harian

Read More

Hi, how can I help you?