LANGKAH PROGRESIF, EFEKTIF TANGANI GANGGUAN SEKSUAL KANAK-KANAK

Penahanan seorang pemandu van sekolah berikutan kes mencabul pelajar sekolah rendah yang tular di media sosial baru-baru ini menggemparkan masyarakat.

Namun, kejadian sebegini bukanlah kes terpencil atau jarang berlaku. Hakikatnya, kes gangguan seksual kanak-kanak seperti itu kerap kali terjadi serta dilaporkan sejak dahulu lagi.

Zaman kanak-kanak adalah suatu fasa kehidupan yang seharusnya dilalui dengan warna-warni indah dan dipenuhi dengan gelak ketawa. Namun, bagi kebanyakan mangsa gangguan seksual yang mengalaminya pada usia setahun jagung, tragedi itu akan menjejaskan kehidupan zaman kanak-kanak, malah berupaya menjadi titik hitam dalam kehidupan mereka.

Tanpa langkah pencegahan awal, titik hitam itu akan berkembang besar dan meninggalkan kesan yang berpanjangan, sekali gus berpotensi mengganggu perkembangan emosi dan mental mereka.

Perlu diketahui gangguan seksual bukan kejadian yang menyebabkan trauma dari segi fizikal semata-mata. Ramai daripada kita sering terlepas pandang akan kesan gangguan seksual terhadap mental dan emosi mangsa.

Berhadapan dengan perkara traumatik di usia mentah adalah sesuatu yang sukar, maka tidak hairanlah jika mangsa gangguan seksual menunjukkan gejala kemurungan, tekanan dan tingkah laku abnormal seperti mudah hilang fokus, terlalu pendiam dan menjauhkan diri daripada orang sekeliling.

Menurut kajian, tanpa perhatian sewajarnya daripada golongan profesional seperti pakar psikiatri, psikologi dan kaunselor bertauliah, kanak-kanak yang menjadi mangsa gangguan seksual cenderung berhadapan dengan masalah kesihatan mental di usia dewasa.

Jika diteliti dengan lebih lanjut, implikasi gangguan seksual dari segi emosi turut memberi impak kepada perkembangan akademik serta sosial kanak-kanak. Apabila emosi mangsa terjejas, sukar bagi mereka menumpukan perhatian di dalam bilik darjah dan mengekalkan motivasi untuk belajar.

Hal ini sekali gus menjejaskan prestasi akademik. Hubungan mangsa dengan guru dan rakan di dalam bilik darjah juga akan terganggu disebabkan mereka memilih untuk menyendiri dan kurang bersosial bersama rakan sebaya.

Tambahan lagi, kebanyakan mangsa gangguan seksual sering mempunyai masalah untuk berinteraksi dengan orang di sekeliling mereka, lebih-lebih lagi ahli keluarga. Hal ini disebabkan beberapa faktor, antaranya pelaku itu sendiri adalah ahli keluarga terdekat menyebabkan ibu bapa cenderung tidak mempercayai aduan mangsa.

Ini akan menyebabkan mangsa terkapai-kapai keseorangan dalam menghadapi tekanan perasaan, sekali gus akan meninggalkan kesan yang lebih mendalam kepada jiwa, emosi dan mental mereka. Malah tidak kurang juga mangsa yang mengambil tindakan berdiam diri atas sebab takut atau diugut untuk senyap.

Justeru, langkah progresif dan efektif perlu segera diambil bagi membendung perkara ini daripada terus berlaku. Kanak-kanak perlu diberi pendedahan mengenai pendidikan seksual misalnya kelakuan yang tidak dibenarkan.

Diakui tidak ramai ahli masyarakat yang cakna akan akta berkenaan dengan gangguan seksual. Oleh itu, sejak dari bangku sekolah seharusnya perkara seperti ini perlu didedahkan supaya mereka tahu cara yang efektif untuk membendung masalah sebegitu daripada terus berlaku. Sebagai contohnya mendidik mereka membuat laporan kepada pihak yang betul sekiranya berlaku gangguan seksual ini.

Ibu bapa juga tidak terlepas daripada memikul tanggungjawab dan memainkan peranan penting. Ibu bapa yang seharusnya memberi didikan awal kepada anak, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Mereka juga perlu mendidik anak untuk menjaga diri sebaiknya berlandaskan syariat. Bagi anak remaja mereka perlu ditegaskan mengenai batas pergaulan, didikan agama, selain perlakuan yang boleh menjurus kepada sebarang tindakan seksual.

Pantau juga dengan siapa mereka berkawan bagi memastikan tidak terjerumus dengan pergaulan bebas dan sebagainya. Namun, jangan sampai mengawal sepenuhnya pergerakan anak kita hingga menyebabkan mereka tidak selesa.

Masyarakat juga perlu ikut prihatin dalam hal ini. Kita perlu membuka mata terhadap isu gangguan seksual kanak-kanak. Isu ini sangat serius dan jangan melihatnya dengan pandangan penuh stigma atau mentaliti yang terkebelakang hingga ia gagal dibincangkan secara komprehensif dan teliti.

Generasi muda ialah pucuk pimpinan negara pada masa hadapan dan kanak-kanak seharusnya dilindungi dan dijaga bagai menatang minyak yang penuh.

Sebagai rujukan artikel asal boleh dilihat di laman Berita Harian.

Read More

Hi, how can I help you?