Semua Pihak Perlu Bantu Murid Kuasai Literasi Bahasa Melayu

Keciciran literasi bahasa Melayu termasuk dalam kalangan kalangan murid penutur asli bahasa itu sepanjang proses Pembelajaran dan Pengajaran Dari Rumah (PdPR) sebelum ini sebenarnya amat membimbangkan.

Ini kerana murid yang keciciran itu pastinya menghadapi masalah dalam subjek lain, selain berdepan kesukaran berkomunikasi dan bersosialisasi dengan baik dalam bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan dan perhubungan.

Bayangkan jika murid berusia enam tahun ketika pandemik COVID-19 diisytiharkan, mereka kini berumur lapan tahun, tetapi masih ada belum mahir membaca dan menulis kesan tidak dapat mengikuti pembelajaran bersemuka di sekolah.

Generasi Murid Era Pandemik Covid-19

Generasi murid era pandemik COVID-19 pastinya berbeza kerana mereka lebih banyak berkurung di rumah dalam tempoh dua tahun ini, sekali gus menghabiskan banyak masa dengan permainan dalam aplikasi internet atau media sosial.

Ini antara lain turut menyebabkan fokus dan minat murid agak sukar untuk dikawal ketika belajar, manakala pengaruh gajet dan media sosial dibina dan disalurkan menggunakan bahasa Inggeris juga sangat kuat.

Apatah lagi, guru juga menghadapi kekangan dari sudut gangguan capaian internet mereka dan murid hingga menjejaskan PdPR, manakala pendekatan pedagogi yang sudah biasa dilakukan secara bersemuka sebelum pandemik juga bertukar secara drastik.

Walaupun pelbagai strategi, pendekatan dan kaedah baharu dalam pengajaran diinovasikan guru secara kreatif, timbul persoalan sejauh mana keberkesanannya kepada pencapaian literasi murid?

Persoalan ini turut dibangkitkan ibu bapa yang sangat bimbang keciciran anak mereka dalam keupayaan membaca dan menulis dalam bahasa Melayu. Hal ini turut berlaku dalam kalangan anak golongan pendidik.

Peranan ibu bapa dan guru guru

Oleh itu, ibu bapa dan guru perlu memberikan perhatian kepada kepincangan literasi anak. Diakui golongan yang sibuk bekerja tidak dapat meluangkan masa untuk mendidik anak di rumah, selain kurang berkemahiran untuk membantu anak mereka menguasai literasi bahasa Melayu.

Justeru, pelbagai pihak perlu mengambil perhatian mengenai isu ini dengan melaksanakan langkah segera dalam keadaan sesi persekolahan sudah diadakan sepenuhnya secara bersemuka.

Antara intervensi yang boleh dilaksanakan dalam menangani perkara ini adalah mewujudkan panduan terperinci untuk ibu bapa dalam membimbing anak untuk membaca dan menulis. Satu standard panduan literasi membaca dan menulis boleh dibangunkan untuk membantu ibu bapa, guru serta murid dalam menangani permasalahan ini.

Proses pemulihan kepada literasi murid bukan sahaja perlu dilakukan di sekolah, bahkan kemahiran anak juga perlu dipantau ibu bapa di rumah kerana kedua-dua pihak perlu mempunyai hubungan komunikasi baik, sekali gus saling membantu serta melatih murid secara konsisten.

Realitinya, isu keciciran literasi bahasa Melayu boleh diatasi jika semua pihak bekerjasama membantu anak keciciran dalam literasi bahasa dengan keupayaannya masih boleh dikuasai kembali sekiranya ada kerjasama semua pihak.

Sebagai rujukan artikel asal boleh dilihat di laman Berita Harian.

Read More

Hi, how can I help you?